Sabtu, 19 September 2015

Apa Rahsia Kekuatan Umat Islam?


  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
Apabila Rasulullah s.a.w berjaya mendidik umat Islam menjadi satu bangsa yang berakhlak, bertamaddun, kuat berpegang kepada Tuhan, gagah, mampu menumbangkan kerajaan Rom dan Parsi dan mampu memimpin tiga suku dunia, semua manusia kagum.Lebih-lebih lagi, umat Arab yang dididik dan dipimpin oleh Rasulullah itu asalnya hanyalah pengembala-pengembala kambing yang hidup berkabilah-kabilah di padang pasir, tidak berilmu, tidak pandai membaca dan menulis, tidak bertamaddun dan tidak bijak seperti bangsa-bangsa lain.

Berbeza dengan bangsa Yahudi. Di samping mereka itu bangsa yang tertua di dunia dan mempunyai banyak ilmu dan pengalaman, mereka juga merasakan mereka itu bangsa yang terpilih. Kebanyakan para nabi dan rasul adalah dari kalangan bangsa mereka.Oleh itu, apabila Rasulullah s.a.w. diutus dari kalangan bangsa Arab, bangsa Yahudi sangat cemburu dan iri hati. Mereka takut dengan kekuatan umat Islam.Justeru itu, mereka mengkaji apakah rahsia dan punca umat Islam jadi kuat. Mereka mencari apa formula yang digunakan oleh Rasulullah untuk mendidik bangsa Arab yang sebegitu jahil dan lemah hingga boleh menjadi satu bangsa yang begitu gigih dan hebat. Mereka dapati bahawa Rasulullah telah mendidik bangsa Arab itu dengan ketauhidan.

Mereka dikenalkan kepada Allah dan kepada Akhirat. Hati-hati mereka di bersihkan daripada dunia dan dari segala sifat-sifat yang keji hingga bangsa Arab yang dipimpin dan dididik oleh Rasulullah itu menjadi bangsa yang sangat cinta dan takut dengan Tuhan, sangat cinta akhirat dan sangat berkasih sayang di antara satu sama lain.Orang-orang Yahudi juga mendapati bahawa kekuatan umat Islam ketika itu bertolak daripada empat perkara seperti berikut:

1. Taqwa

2. Perpaduan

3. Taat kepada Rasulullah

4. Tawassul

Oleh kerana iri hati, takut dan tidak redhanya bangsa Yahudi terhadap umat Islam, maka mereka mencari jalan dan merancang untuk merosakkan semua perkara yang menjadi asas kekuatan umat Islam ini. Supaya umat Islam menjadi lemah. Mereka berusaha sedaya upaya supaya keempat-empat perkara ini dinyahkan atau dihindarkan dari umat Islam. Mereka cuba pisahkan umat Islam daripada keempat-empat sumber kekuatan ini. Mereka takut-takutkan umat Islam dari mempercayai dan mengamalkan perkara-perkara tersebut atas berbagai-bagai alasan. Taksublah, syiriklah, sesatlah, bukan dari ajaran Islamlah dan berbagai-bagai lagi. Padahal para sahabat sangat menghayati dan sangat mengamalkan perkara-perkara tersebut. Kerana itulah para sahabat jadi hebat dan kuat dan digeruni oleh musuh terutama Yahudi dan Nasrani.

Mari kita lihat bagaimana Yahudi berusaha memisahkan dan menjauhkan umat Islam dari asas-asas kekuatan ini.

1-Taqwa

Dilalaikan umat Islam dengan amalan-amalan lahir semata-mata. Dicegah dan diharamkan hal-hal dan amalan-amalan yang berbentuk rohaniah, malahan disesatkan. Amahan-amalan tareqat yang banyak menjurus kepada membina roh, memperbaiki hati dan mendidik nafsu tidak digalakkan malahan dikatakan bukan dari ajaran Islam. Dikatakan semua itu hanya ciptaan orang-orang terkemudian dan dianggap bida'ah.Fahaman Wahabi banyak membawa isu seperti ini. Fahaman Wahabi sangat merosakkan ketaqwaan umat Islam. Fahaman Wahabi sangat menguntungkan musuh Islam. Memang fahaman Wahabi itu dicetuskan oleh Yahudi dan musuh-musuh Islam. Disamping Wahabi, inilah juga kerja para-para ulama yang dididik dan mendapat ijazah dan Ph.d ilmu Islam dari pusat-pusat pengajian di Barat dan Amerika yang guru-guru mereka sendiri tidak Islam.

Justeru itu, ibadah dan amalan umat Islam kini hanya tinggal yang lahir sahaja. Tidak ada rohnya. Solat tidak ada roh. Puasa tidak ada roh. Haji tidak ada roh. Baca Quran tidak ada roh. Semua amalan-amalan tersebut terputus dari Tuhan. Ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan dan tidak dapat membina keinsanan umat Islam.Ibadah hanya untuk mengejar pahala dan fadhilat. Tuhan tidak ada dalam ibadah. Ibadah bukan lagi untuk mendapat rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan. Tuhan dihilangkan dari ibadah umat Islam. Kesannya, hati-hati umat Islam dipenuhi dengan berbagai sifat mazmumah. Nafsu menjadi liar dan rakus.Oleh kerana soal roh dikebelakangkan, maka agama Islam hanya tinggal akal. Segala hal dalam agama Islam hendak diselesaikan dan cuba difahamkan dengan akal. Segala masalah umat Islam dirujuk kepada akal. Umat Islam tidak lagi merujuk kepada Tuhan dan tidak kembali lagi kepada Tuhan. Dalam ibadah dan kehidupan seharian, Tuhan ditinggal dan dilupakan. Hukum-hakam, perundangan, syariat, peraturan dan sistem yang Tuhan aturkan untuk manusia ditolak tepi. Semua itu diganti dengan sistem dan peraturan yang dicipta oleh akal manusia baik dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan, perundangan dan sebagainya.

2 -Perpaduan

Untuk memusnahkan kekuatan ini, bangsa Yahudi melahirkan berbagai ideologi dan isme-isme. Oleh itu, di kalangan sesama Islam, ada orang Islam yang berfahaman sosialis, nasionalis, kapitalis, demokrasi, bahkan ada orang Islam yang berfahaman komunis.Dengan fahaman yang berbeza-beza ini, maka umat Islam berpecah kepada berbagai-bagai puak, kumpulan dan parti mengikut fahaman mereka masing-masing. Fahaman-fahaman ini lebih kuat mencengkam individu-individu tersebut dari agama Islam itu sendiri sehingga agama Islam yang mereka sama-sama anuti jadi kecil dan lemah dan tidak mampu untuk menyatupadukan mereka. Umat Islam lebih berideologi daripada beragama. Ideologi mereka mengatasi agama mereka.

Dalam sistem demokrasi pula, diwujudkan sistem politik kepartian. Maka umat Islam berpecah lagi ke dalam berbagai-bagai parti mengikut fahaman parti mereka masing-masing. Atas landasan demokrasi, mereka merebut kuasa pemerintahan. Mereka terus berpecah kerana tidak sehaluan dan demi untuk menjaga kepentingan parti masing-masing. Ada parti yang bersifat nasionalis, sosialis, liberalis, buruh dan sebagainya. Orang Islam yang ada semangat untuk memperjuangkan Islam juga turut terpedaya dan terlibat dalam sistem demokrasi dan politik kepartian anjuran Yahudi ini yang bertujuan untuk melemah, memecah dan memusnahkan perpaduan umat Islam dengan membentuk parti demokrasi Islam.

3 -Taat kepada Rasulullah s.a.w.

Di zaman ini, kerana Rasulullah sudah tidak ada lagi bersama kita, bolehlah kita samakan ketaatan ini dengan ketaatan kepada guru, terutama guru mursyid laitu guru yang mengajar, mendidik, membimbing dan memimpin kita. Dalam Islam, perlu ada guru mursyid yang memimpin. Guru dan pemimpin perlu untuk mengikat murid-murid. Islam pula mewajibkan murid taat kepada guru.Yahudi sangat berusaha memusnahkan hubungan murid dengan guru ini. Mereka cuba putuskan. Apa yang diistilahkan sebagai ketaatan oleh Islam, mereka namakan taksub atau taksub membuta tuli. Ketaatan yang dituntut oleh Islam dengan tujuan supaya hubungan antara murid dan guru menjadi kuat dan mudah untuk murid dididik dan dipimpin, diselewengkan dan dikatakan taksub yang bahaya kerana guru mungkin menyalahgunakan murid untuk tujuan peribadi dan duniawi. Mereka sangka guru mursyid itu macam mereka yang tergila-gilakan dunia ini. Mereka cuba cacatkan akhlak dan peribadi guru. Mereka guna lidah ulama-ulama yang berkepentingan dan yang gila dunia untuk tujuan ini. Ulama-ulama inilah yang membuat bising di akhbar dan media massa.

4 -Tawassul

Tawassul adalah wasilah. Rasulullah S.A.W adalah wasilah bagi semua orang soleh dan orang mukmin. Tawassul adalah kelebihan yang Allah kurniakan kepada umat Islam. Orang awam boleh berdoa dengan perantaraan dan berkat Rasul dan orang-orang yang soleh dan bertaqwa. Doa seperti ini cepat makbul. Ia satu dari kekuatan umat Islam. Yahudi berusaha menyesatkan tawassul ini. Dikatakan tawassul itu syirik kerana meminta kepada makhluk dan tidak meminta terus kepada Allah. Ini supaya umat Islam takut dengan tawassul padahal ia adalah sumber kekuatan umat Islam. Mereka sorokkan hakikat bahawa tawassul itu tetap meminta dari Tuhan, hanya diperkuatkan permintaan itu dengan berkat orang-orang soleh dan bertaqwa yang mereka itu sangat hampir dengan Tuhan.Sangat licik orang Yahudi. Mereka tidak berusaha ke arah semua ini secara terus-menerus atau terang-terangan. Secara terus-menerus dan terang-terangan tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kerana umat Islam akan curiga dan berwaspada terhadap angkara Yahudi ini. Mereka lakukannya secara halus. Mereka gunakan orang-orang Islam sendiri yang mereka pengaruhi untuk membuat kerja-kerja ini terutama yang mempunyai ilmu dan kuasa.


Bak kata pepatah Melayu, "hendak tebang pokok kayu, kenalah minta tolong pada kayu." Walaupun mata kapak itu besi tetapi hulunya kayu. Hendak musnahkan umat Islam, mesti gunakan orang Islam.
Betapa kini ramai umat Islam, khususnya di kalangan ulama, yang mendapat ilmu mereka dari tok-tok guru Yahudi dan Nasrani terutama di beberapa universiti di Amerika dan Eropah. Tok-tok guru Yahudi dan Nasrani ini hafal Quran dan puluhan ribu hadith, tetapi tidak beriman dan tidak Islam. Mereka siram ulama-ulama ini dengan ilmu Islam yang tidak ada roh, yang menyeleweng, yang sudah tercemar, yang mustakmal dan mutannajis. Mudah sahaja kaum Yahudi melakukan perkara ini kerana para ulama yang belajar dengan mereka bukan ikhlas belajar kerana Allah. Mereka hanya mahukan ijazah. Mereka belajar ilmu agama kerana hendak buru dunia. Mereka mahu jawatan dan pangkat. Dunia lebih mereka cintai dari Islam dan Tuhan. Mereka ini cinta dunia dan takut mati. Kalau tidak masakan mereka mahu belajar Islam dengan orang kafir. Bukan sahaja ilmunya tidak berkat, malahan ia digunakan pula untuk merosak dan melemahkan Islam.

Kita mesti kembali kepada keempat-empat perkara yang menjadi tunggak kekuatan umat Islam ini. Kita mesti kembali kepada Taqwa. Kita mesti kembali Bersatu dan Berpadu. Kita mesti kembali taat kepada Rasulullah SAW dan guru-guru yang mereka adalah warisatul Anbiya {pewaris Nabi}. Kita mesti kembali kepada tawassul.Kita mesti tentang habis-habisan segala usaha Yahudi untuk memisahkan umat Islam dari sumber-sumber kekuatan ini. Kita sudah tahu rahsia mereka. Kita sudah tahu tipu helah mereka. Kita sudah kenal siapa dalang dan tali barut mereka.

Isnin, 14 September 2015

TEKNIK KEMAHIRAN BELAJAR



Teknik-teknik yang dapat menggalakkan perkembangan kemahiran berfikir secara analitis, krisis dan rasional boleh didapati daripada Cort Thinking Programme yang disediakan oleh Dr. Edward de Bono. Mengikut beliau, kemahiran berfikir seseorang pelajar boleh dipertingkatkan melalui teknik-teknik seperti berikut :
a)    Mengadakan perbincangan di antara pelajar dalam sesuatu kumpulan kecil dengan mempertimbangkan sesuatu idea atau isu semasa dari segi kebaikannya dan kelemahannya.
b)   Menggunakan teknik menyelesaikan masalah yang sesuai untuk mencari sesuatu aternatif, kemungkinan atau pilihan untuk membuktikan hipotesis atau mendapat sesuatu rumusan.
c)    Membimbing pelajar supaya mempertimbangkan semua faktor dalam proses pilihan atau semasa membuat keputusan.
d)   Membimbing pelajar meneliti segala akibat (berikut sesuatu tindakan) yang mungkin berlaku dalam masa jangka pendek serta masa jangka panjang.
e)    Membimbing pelajar meninjau sesuatu idea atau pendapat dari sudut pandangan orang lain.
f)    Membimbing pelajar supaya memahami dan menentukan tujuan dan objektif tentang sesuatu perkara dalam kajian dengan cara yang tepat.

Isnin, 31 Ogos 2015

Perlukah kita kecewa ?


Kita seringkali bertanya dan mempertikaikan apa yang terjadi ke atas diri kita selama ini. Kita tidak sedar dan redha bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan dan kehendak Allah jua...


SOALAN LAZIM MANUSIA BILA KECEWA

YA ALLAH? KENAPA SEMUA INI TERJADI PADA AKU?


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

-Surah Al-Baqarah ayat 216


YA ALLAH? KENAPA BERAT SANGAT UJIAN INI?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya."

-Surah Al-Baqarah ayat 286


YA ALLAH? TERASA KEHIDUPAN INI SUDAH TIADA MAKNANYA LAGI.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."

- Surah Al-Imran ayat 139

"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

-Surah Yusuf ayat 12


YA ALLAH? BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPI SEGALANYA INI?

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

-Surah Al-Baqarah ayat 45


YA ALLAH? APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... ..

-Surah At-Taubah ayat 111


YA ALLAH? KEPADA SIAPA UNTUK AKU BERHARAP?

"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."

-Surah At-Taubah ayat 129


YA ALLAH? BERIMANKAH AKU?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.?

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3



sumber : blog maicekmai

MARI BELAJAR BAHASA ARAB


Dalam bahasa ArabDalam bahasa Malaysia
Mar-habaSelamat datang
Ahlan-Wa-SahlanSelamat datang
ShukranTerima kasih
AasifMaaf
AfwanSama-sama
KamBerapa?
Na'amYa
LaTidak
MabruukSelamat
YamiinKanan (arah)
YasarKiri
AnaSaya
Anta(p) / anti (w)Anda

Kalimat yang Sering Digunakan
KalimatErtinya
As-salaam-alaikumAssalamu'alaikum (keselamatan atasmu (salam dalam Islam)
Kaifa-haluk?Bagaimana kabarmu?
Kam-is-sa'ah?Jam berapa sekarang?
Al-hamdu- lillahAlhamdulillah (sering digunakan sebagai jawapan untuk "Kamu apa khabar ?")
Ma'as-salamahSelamat tinggal

Catatan:
Jenis huruf yang digunakan dalam tulisan Arab pada tutorial ini disebut Nasekh, merupakan jenis huruf yang umum digunakan dalam bahasa Arab dan merupakan jenis huruf yang paling jelas (jenis ini digunakan dalam buku-buku cetak, surat khabar dan dokumen).
Jika Anda menemukan tulisan Arab yang sukar dibaca, kemungkinan tulisan tersebut menggunakan jenis yang lain (yang berbeza dari Nashek). Contohnya: berikut ini adalah dua tulisan Islam dalam bahasa Arab yang menggunakan jenis tulisan yang indah.
Allahu-AkbarSalla-lahu-Alaihi-wa-sallam

Jumaat, 21 Ogos 2015

Hari Raya Aidilfitri


Ringkasan Sejarah Hari Raya Aidiladha Atau Hari Raya Korban


Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.

Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI). Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian."
– Surah al-Soffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.

Pendek kata, ibadah korban merupakan gambaran praktikal dari keikhlasan, ketaatan dan ketulusan hati yang tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail kepada Allah Yang Maha Kuasa.
 

MARI BELAJAR Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez